Thursday, September 14, 2006

MAKLUMAT MELALUI FREKUENSI

Oleh KHAIRUL ANUAR RAHMAN
Kosmo! Selasa 25 Julai, 2006


Radio Amatur atau juga dikenali sebagai Ham Radio merupakan satu cara berkomunikasi tanpa wayar dengan menggunakan isyarat radio yang efektif selain dari menggunakan telefon bimbit dan Internet. Jutaan pengguna dari segenap pelusuk dunia memilih Radio Amatur sebagai satu hobi. Di Malaysia, pengendali hobi ini tertakluk di bawah Akta Komunikasi dan Multimedia 1998. Seseorang yang ingin mengendalikan Radio Amatur perlu menduduki peperiksaan Radio Amatur atau RAE. Umur minima bagi menduduki peperiksaan ini ialah 14 tahun sepertimana yang telah ditetapkan oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia, organisasi yang bertanggungjawab terhadap pengeluaran lesen dan isu-isu berkaitan dengannya.

Pengendali Radio Amatur hanya perlu membayar yuran lesen kategori masing-masing iaitu sebanyak RM24 setahun bagi kelas B dan RM36 bagi pemegang lesen kelas A. Pemegang lesen kelas B yang hendak menaiktaraf kepada lesen kelas A yang membolehkan seseorang itu mengendalikan frekuensi yang lebih meluas dikehendaki untuk menduduki peperiksaan kod Morse pada kelajuan yang ditetapkan oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (MCMC).

Persatuan Radio Amatur tertua di Malaysia dikenali sebagai Malaysian Amateur Radio Transmitters’ Society melalui Persatuan Pemancar Radio Amatur Malaysia (MARTS) telah ditubuhkan pada tahun 1952, sebelum negara kita mencapai kemerdekaan lagi. Sejak dari tarikh itu, MARTS telah menjadi wakil Radio Amatur Malaysia di dalam Persatuan Radio Amatur Antarabangsa (International Amateur Radio Union) atau IARU, sebuah badan Radio Amatur yang ditubuhkan di Paris, Perancis sejak tahun 1925 dan dianggotai lebih 150 negara.

Terdapat lebih daripada 10 persatuan Radio Amatur di Malaysia yang boleh dianggotai oleh mereka yang mempunyai lesen Radio Amatur yang dikeluarkan oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC). Bagi mereka yang baru berjinak-jinak dengan hobi ini tetapi belum mempunyai lesen, mereka boleh menyertai persatuan-persatuan radio amatur sebagai seorang pendengar atau lebih dikenali di dalam dunia Radio Amatur sebagai Shortwave Amateur Radio Listener (SWAL).

Menurut salah seorang penggiat hobi ini, Abdul Ssukur Ahmad, 45, "Komunikasi menerusi radio adalah unik dan mempunyai kelebihannya yang tersendiri. Selain daripada dapat mengenali rakan-rakan di seluruh dunia menerusi suara, ketukan kod Morse dan pelbagai lagi aktiviti komunikasi Radio Ham yang lain, ia juga berguna sewaktu kecemasan, iaitu ketika perhubungan lain seperti talian telefon terputus atau sewaktu ketiadaan isyarat perhubungan telefon bimbit semasa menjelajah tempat terpencil seperti di kawasan hutan dan perhubungan".

Beliau yang memiliki callsign atau kod panggilan 9M2SY (disebut Nine-Mike-Two-Sierra-Yengki) merupakan seorang Elmer atau mentor yang membantu mereka yang baru mengenali Radio Amatur. Beliau turut membantu mendapatkan peralatan Radio Amatur untuk mereka yang berminat menceburi aktiviti ini selain menyediakan maklumat dan panduan seperti siri kartun Radio Amatur serta pautan kepada laman-laman web Radio Amatur lain dalam negara menerusi weblog beliau di http://abang9m2sy.blogspot.com. Mereka yang kurang mahir di dalam bidang teknikal turut boleh mendapatkan rujukan daripada beliau tentang cara yang betul untuk memasang peralatan radio mereka.

Abdul Sssukur yang telah terlibat dengan aktiviti Radio Amatur selama lebih daripada 15 tahun dan kini merupakan ahli seumur hidup Persatuan Radio Amatur Utara Semenanjung Malaysia (ASTRA) dan juga juruaudit kepada persatuan ini turut menambah, "Bagi mereka yang gemar membuat eksperimen dengan peralatan radio juga boleh menggunakan peluang ini untuk membina dan mengujikaji radio serta mendapat bimbingan daripada ahli Radio Amatur yang lebih berpengalaman.

ASTRA merupakan persatuan pertama di negara ini yang memiliki rangkaian pancar-ulang atau repeater yang menghubungkan seluruh Semenanjung Malaysia ketika ini. Selain ASTRA, persatuan lain yang bergiat aktif termasuklah Persatuan Perkhidmatan Kecemasan Radio Amatur Malaysia (MARES), Kelab Radio Amatur Negeri Sembilan (NESRAC), Persatuan Radio Amatur Sabah dan Kelab Radio Amatur Sarawak.

Menurut Abdul Ssukur lagi, "Radio Amatur sangat berkesan dalam memberikan informasi terkini tentang perkara yang sedang berlaku di sekeliling kita dan sekiranya berlaku kecemasan, kita mudah mendapatkan bantuan. Sebagai contoh, saya mendapat maklumat mengenai tragedi Tsunami melalui Radio Amatur lebih awal daripada media massa yang lain". Tambah beliau lagi, "Bukan sahaja saya menjadi antara orang pertama di dalam negara mendapat berita mengenai bencana ini, malah ia juga membolehkan kami dengan cepat mengambil tindakan seterusnya dengan lebih cepat".

Selain itu, pengendali radio juga sering bertemu dan kadang-kala mereka mengadakan pertandingan mencari arah dikenali sebagai Fox Hunting dengan menggunakan antenna Yagi dan Handy, suatu pertandingan yang hampir serupa dengan pertandingan mencari harta karun menggunakan peralatan tertentu seperti alat GPS atau Geocaching.

Mungkin ada yang berpendapat hobi ini adalah satu hobi yang mahal. Hakikat sebenarnya ia tidak semahal yang disangka. Dengan kos minima sebanyak RM600, seseorang boleh mendapatkan peralatan Radio Amatur dikenali sebagai Handy. Mereka yang mempunyai bajet yang lebih boleh memilih menggunakan Mobile Rig (untuk kereta) atau Base Station (Untuk rumah atau pejabat).

Tambah Abdul Ssukur lagi, "Langit bukanlah batasan kepada hobi ini, malahan ia menjangkau lebih dari itu. Isyarat-isyarat yang dipancarkan oleh pengendali dari seluruh dunia melantun dari setiap penjuru arah pada setiap masa umpama sebuah jaringan labah-labah gergasi yang tidak kelihatan oleh mata kasar. Tanpa kita sedari, jutaan pengendali radio amatur sendang menjalinkan persahabatan dengan cara yang unik ini. Tidak keterlaluan jika saya katakan bahawa Radio Amatur merupakan raja segala hobi!".

0 Comments:

Post a Comment

<< Home