Thursday, February 02, 2006

Peranan radio amatur membantu erat hubungan

Publication :
BM
Edition :
Date :
22/01/2006
Page Number :
22
Headline :
Peranan radio amatur membantu erat hubungan
Words :
609
Byline :
Oleh Nor Aziah Othman
Text :
RADIO amatur bukan sekadar alat komunikasi sesama ahli atau dengan
pengguna lain, tetapi turut membantu ketika kecemasan seperti tanah
runtuh, sesat di dalam hutan, banjir kilat atau nahas di darat, udara
mahu pun air, apabila komunikasi sedia ada tidak dapat digunakan.
Jika sebelum ini peralatan komunikasi seperti telefon bimbit digunakan
untuk berhubung, tetapi 'ham radio' memudahkan proses itu, khususnya di
kawasan yang tiada talian kerana ia boleh berfungsi melalui tenaga bateri
atau generator.
Memang ada kod panggilan yang sukar difahami seperti
"MEMANGGIL...9W2DZU (diulang dua kal)i atau 9W2DZU going QRT, 73...
over". Barisan ayat disulami figura seperti itu kedengaran seperti sistem
komunikasi yang lazim bagi pihak berkuasa, polis atau tentera.
Ia memang tidak akan difahami umum, kecuali mereka yang biasa dengan
pengendalian sistem komunikasi radio. Diterjemahkan, panggilan itu tadi
bermaksud - keluar dari jaluran atau frekuensi -. Ia kod panggilan atau
'callsign' yang mula dituturkan oleh pengguna radio amatur atau lebih
dikenali sebagai 'ham radio' untuk berhubung dengan orang lain.
Sebenarnya, kod panggilan yang digunakan oleh pengguna radio amatur
membawa maksud pengenalan diri seseorang apabila pengguna berkenaan ingin
memasuki talian atau berkomunikasi dengan orang lain.
Seorang kontraktor dari Seremban, Hamid Abdullah, 44, yang sudah tiga
tahun terbabit dalam dunia radio amatur, berkata sistem perhubungan itu
bermula dengan penggunaan sistem itu oleh tentera British.
"Ketika berperang, tentera British berhubung melalui cara ini untuk
urusan menyampaikan bantuan kepada mangsa peperangan atau menyalurkan
maklumat kepada pihak atasan.
"Sejak itu, penggunaan sistem berkenaan berterusan di negara ini dan
kini semakin meluas untuk berhubung ketika mengendalikan sesuatu program
atau aktiviti," katanya.
Katanya, sistem seperti itu juga digunakan dalam sukan lasak pacuan
empat roda, aktiviti yang kini mula mendapat perhatian pelbagai syarikat
dan persatuan sukan di negara ini.
"Bagaimanapun, penggunaan radio amatur di negara ini terikat dengan
pelbagai syarat dan etika," katanya, menambah pengguna sistem itu harus
menduduki peperiksaan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia
(SKMM) terlebih dulu.
"Hanya jika lulus peperiksaan berkenaan, barulah pemohon layak menerima
lesen menggunakan radio amatur dengan jumlah bayaran dikenakan mengikut
kelas sistem yang dipohon," katanya.
Kelas A dikenakan bayaran RM36 setahun manakala kelas B dikenakan
bayaran RM24 setahun, selain RM60 sebagai yuran pendaftaran.
Hamid menganggap pembabitannya dalam bidang itu lebih menjurus sebagai
hobi dalam menjalin hubungan dengan pelbagai peringkat masyarakat dalam
dan luar negara.
"Selain bertanya khabar, sistem perhubungan ini turut digunakan apabila
kami terbabit dalam pelbagai aktiviti sukan lasak, program berkaitan alam
sekitar serta program kemasyarakatan.
"Penggunaan radio amatur dapat memudahkan tugas jika menghadapi
sebarang masalah, terutama apabila berada jauh di pedalaman atau dalam
hutan," katanya.
Beliau yang juga Pengarah Urusan Nine Adventure, syarikat pengurusan
aktiviti sukan lasak, termasuk pacuan empat roda di Negeri Sembilan,
berkata radio amatur memang memberikan banyak kelebihan kepada
penggunanya.
Rakannya, Mazlan Shamsuddin, 48, yang mula berjinak dengan hobi itu,
berkata sistem perhubungan seperti itu menyeronokkan kerana dapat
berhubung dengan ramai kenalan tanpa perlu mengeluarkan belanja.
Baru-baru ini, 300 pengguna radio amatur seluruh negara berhimpun pada
majlis anjuran Rakan Radio Amatur Kuala Pilah di Perkampungan Budaya
Terachi, Negeri Sembilan untuk bertanya khabar dan membincangkan aktiviti
tahun ini.
"Kami perlu juga berjumpa dan bertentang mata walaupun dapat berbual
melalui radio amatur yang ada batasannya. Menjadi kesalahan dan boleh
dikenakan tindakan jika berbual mengenai isu sensitif.
"Pengguna radio amatur tidak boleh membincangkan isu agama, politik
atau peribadi yang menjejaskan imej seseorang secara terbuka melalui
sistem ini," katanya.
Seorang lagi ahli, Zulkifli Sulaiman, 43, berkata kemahiran menggunakan
radio amatur memberikan banyak manfaat kerana ia juga dapat disalurkan
untuk membantu pihak yang memerlukan.
"Sebelum ini, sistem perhubungan itu digunakan ketika kami diminta
memberi bantuan kecemasan menyelamatkan kumpulan remaja yang sesat di
hutan Gunung Angsi, Kuala Pilah," katanya

0 Comments:

Post a Comment

<< Home